Tuesday, December 27, 2011

Nafkah anak

Just something that I think worth sharing and also to remind us on our responsibility as parent or guardian. I am not a parent myself, but knowledge gain are priceless..

Enjoy ya...

Sumber : http://berita.cari.com.my/news.php?id=19393

Peguam Syarie Menulis: Bapa abai nafkah anak pincangkan masyarakat

Setiap zuriat berhak disara sehingga 18 tahun NAFKAH kalimah Arab berasal daripada infaq dari sudut bahasa bermakna perbelanjaan dikeluarkan secukupnya terhadap anak merangkumi makanan, pakaian serta tempat tempat tinggal.

Nafkah terbahagi kepada dua iaitu terhadap diri sendiri dan kewajipan nafkah terhadap orang lain disebabkan perkahwinan iaitu isteri, kerabat contohnya anak dan pemilikan seperti hamba.

Nafkah anak adalah wajib sama ada anak berada dalam jagaannya atau orang lain. Dalam Islam, hak mendapat kehidupan adalah hak anak yang tidak boleh disekat. Justeru, ibu bapa atau penjaga wajib memenuhi hak itu.

Firman Allah bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233) Ayat itu menjelaskan kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan bapa.

Jumhur berpendapat, jika bapa tidak mempunyai harta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha sendiri dengan pekerjaannya membiayai nafkah anak. Berdasarkan peruntukan undang-undang di Malaysia, merujuk Seksyen 73 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 menanggung nafkah menjadi kewajipan bapa. Seksyen itu memperuntukkan: “Kecuali jika sesuatu perjanjian atau perintah mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana munasabah kepada kemampuan atau dengan membayar kos.”

Fuqaha bersepakat jika bapa masih hidup dan berkemampuan untuk bekerja, maka wajib ke atasnya saja membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa.

Dalam menentukan tempoh bapa menanggung nafkah anak diperuntukkan secara jelas mengikut Seksyen 80 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang meletakkan had umur bagi tempoh perintah nafkah tamat apabila anak mencapai umur 18 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah boleh atas permohonan anak melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak mengikuti pelajaran, latihan lanjut atau lebih tinggi.

Kita sedia maklum masuk saja hujung tahun, ibu bapa sibuk mengurus persediaan persekolahan anak. Bagi suami isteri yang membuat persediaan awal dengan menabung, tiada sebarang masalah. Keadaan berbeza bagi ibu tunggal diabaikan pemberian nafkah oleh bekas suami. Sudah tentu perkara ini menyukarkan serta mendatangkan kemudaratan apatah lagi jika mempunyai anak ramai dan semuanya masih bersekolah.

Walaupun kerajaan menyalurkan peruntukan RM100 seorang bagi anak yang bersekolah, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan persekolahan mereka. Ia mungkin dapat meringankan sedikit beban tetapi tidak mencukupi bagi menampung jumlah sebenar.

Jika bekas isteri mampu, bapa tetap perlu menunaikan tanggungjawab. Kita tidak mahu berlaku kepincangan dalam masyarakat apabila bapa mengambil sikap lepas tangan sehingga membebankan bekas isteri khususnya yang tiada kerja atau pendapatan tetap.

Bapa hendaklah mengambil tanggungjawab ini supaya pendidikan anak tidak terganggu. Kita tidak mahu mendengar kes anak tidak bersekolah atau lambat daftar ke sekolah disebabkan pengabaian perbelanjaan pendidikan.

Kepincangan perkahwinan tidak sepatutnya memberi kesan terhadap masa depan anak. Pertelingkahan antara suami isteri juga tidak harus memberi masalah kepada hak anak mendapat nafkah.

Islam sangat mengambil berat mengenai kewajipan memberi nafkah bagi memastikan kehidupan anak tidak terabai. Lebih-lebih lagi untuk menjadikan kehidupan anak sempurna dan tidak terkesan walau sedikitpun akibat daripada permasalahan keluarga mahupun perceraian ibu bapanya.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

1 comment:

  1. Hi Mouna, very interesting post.
    From across the ocean, wishing you a very happy new year, and all the best wishes.
    You have a great new year, and keep a song in your heart.
    Best regards,
    Lee.

    ReplyDelete